HUKUM SESEORANG MUSLIM MENGUCAPKAN “MERRY CHRISTMAS” KEPADA MEREKA YANG BERAGAMA KRISTIAN
Oleh: MUFTI WILAYAH
SS. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas
Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut
jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Sehari dua ini, banyak persoalan
yang sampai ke meja kami berkaitan isu Hukum Seseorang Muslim
Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian. Ini
menjadikan kami terpanggil untuk menekuni isu ini dan membuat sedikit
bahth al-‘ilmi dalam kerangka fiqh mu’asir yang diistinbatkan daripada
nusus syar’iyyah serta maslahat dan fiqh waq’ie. Justeru, Bayan Linnas
pada kali ini kami tajukkan dengan tajuk seperti di atas.
Soalan
ini sering berlegar-legar saban tahun dalam kalangan umat Islam. Ia juga
seringkali menimbulkan polemik dan salahfaham baik dalam kalangan bukan
Muslim, malah umat Islam sendiri. Kami menerima beberapa persoalan
berkaitan ini daripada mereka yang mepunyai hubungan secara langsung
dengan bukan Muslim baik secara kekeluargaan, kerjaya, mahupun kerana
tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama.
Melihat kepada
kepentingan isu ini dalam kalangan umat Islam, kami cuba menghuraikan
permasalahan ini dengan ilmiah dan melampirkan jawapan yang tuntas bagi
permasalahan ini.
Islam Agama Rahmat
Sesungguhnya Rasulullah SAW itu sendiri datang untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah SWT:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al-Anbiya’: 107)
Dr. ‘Aid al-Qarani dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:
• Baginda SAW merupakan seorang manusia utusan Allah.
• Baginda SAW datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.
• Baginda SAW datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain.
• Baginda SAW membina satu tamadun baru di antara sekalian tamadun yang
sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.
•
Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus
tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi
seluruh pelusuk bumi.
Islam adalah agama yang membawa rahmat,
keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita
untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan dengan
dalil yang umum dan jelas:
وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
Maksudnya: “…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 83)
Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota
umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang
baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan
lain bermanfaat di dunia dan akhirat.”
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan…”
(Surah al-Nahl: 90)
Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Ihsan mempunyai
pengertian yang amat luas. Setiap perbuatan yang baik adalah ihsan
belaka. Perintah berbuat ihsan dalam ayat itu merangkumi segala
perbuatan dan muamalah. Ia merangkumi segala ruang kehidupan yang
berkaitan dengan hubungan-hubungan seorang hamba dengan Allah, hubungan
dengan keluarganya, hubungan dengan masyarakatnya dan hubungan dengan
seluruh manusia yang lain.
Definisi Merry Christmas
Merry
menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively”
(ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik - myrige
- iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan).
Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating
Christ's birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival
tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada
25 Disember di Gereja Roman Katolik) . Ia berasal daripada Bahasa
Inggeris klasik - Crīstes yang merujuk kepada Jesus Christ dan mæsse
iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya
gereja Roman Katolik . Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada
hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of
Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai
pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun
boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah
dengan aman (The Mass is ended. Go in peace).”
Oleh itu,
Crīstesmæsse dapat difahami sebagai Christ's Mass iaitu sambutan
kelahiran Jesus Christ, walaupun terdapat bebarapa perbezaan pandangan
tentang tarikh kelahiran Jesus Christ. Sambutan ini ditonjolkan dengan
menzahirkan kegembiraan dan majlis keraian bagi menggantikan tradisi
Roman Saturnalia dan perayaan-perayaan pagan yang lain sebelumnya.
Sambutan ini mula berubah bentuk di England pada abad ke-19 melalui
kemasukan budaya German (pokok Krismas) oleh Prince Consort dan pengaruh
Charles Dickens menerusi novellanya yang terkenal, A Christmas Carol.
Populasi Penganut Kristian di Malaysia
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada
tahun 2010, jumlah penganut Kristian di Malaysia adalah ketiga terbesar
di Malaysia iaitu mencapai 9.2% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
Ia meliputi beberapa aliran dalam Kristian iaitu Anglican, Baptist,
Brethren, gereja-gereja tanpa aliran khusus, gereja-gereja Karismatik,
Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Roman Catholic . Melihat kepada
hal ini, keberadaan dan hak mereka untuk hidup bersama-sama sebagai
sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu diraikan dengan sewajarnya.
Fiqh Kewujudan Bersama (al-Ta’ayush/Co-Existence)
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai
bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra
antara satu dengan yang lain).”
Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat
ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita
semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud
kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk
berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal
keturunan.
Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara
kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan
(insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah
al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan,
kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai
fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu
keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan
warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.
Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi
dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara”
walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka.
وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا
Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.”
(Surah al-A’raf: 73)
قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ
Maksudnya: Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan)
terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar
(negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).”
(Surah al-Syu’ara: 36)
وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا
Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…”
(Surah Hud: 50)
وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا
Maksudnya: “Dan kepada penduduk Madyan, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib.
(Surah Hud: 84)
Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas:
لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ
Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”
Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi
masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai
seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa.
Hukum Mengucapkan Tahniah Atas Sambutan Krismas
Para ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan
tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan, Hari
Krismas. Ini kerana, sebahagian ulama’ yang mengharamkannya melihat
ucapan “tahniah” ini membawa konotasi seakan mengiktiraf dan mengakui
agama lain. Manakala, bagi ulama’ yang membenarkannya pula melihat ia
cuma sebagai satu bentuk penghargaan dan tanda penghormatan atas dasar
sesama manusia tanpa bertujuan mengiktiraf kebenaran agama lain. Kami
bahagikan kepada kumpulan yang mengharamkan dan juga membenarkan.
Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah
Antara mereka yang berpendapat hukumnya haram secara total adalah:
Ulama Silam (mutaqaddimin)
• Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
• Syeikh al-Islam Ibn Qayyim.
Ulama Kontemporari (muta’akhkhirin)
• Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin (Ulama Terkenal Di saudi)
• Syeikh Abdul Aziz Bin Baz (Mantan Mufti Besar Saudi)
• Syeikh Soleh al-Munajjid (ulama masa kini) dan ramai lagi.
Dalil Pengharaman:
Secara asasnya, mereka berdalilkan dengan:
1. Firman Allah S.W.T:
وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
Maksudnya: dan (hamb-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri
Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka
lalu dengan penuh kemuliaan.
(Surah al-Furqan: 72)
Abu
al-‘Aliyah, Tawus Ibn Sirin al-Dahhaq al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain
berkata: “makna al-Zur ialah ‘Perayaan-perayaan Musyrikin”. Ulama’ lain
menyatakan ia adalah majlis yang terdapat padanya nyanyian dan muzik.
2. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dalah daripadanya-
(Riwayat Abu Daud, no. 4031 dan al-Tabarani, no. 8327)
Syeikh Nasiruddin menyebut dalam bukunya Hukum Penyerupaan Dalam Islam:
“Agama Islam telah pun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang
penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidak harus meniru
atau mencontohi orang-orang bukan Muslim seluruhnya samada dari segi
peribadatan, perayaan dan perhiasan yang khusus yang tertentu hanya
kepada kalangan mereka sahaja.
Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا، لاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ
وَلاَ بِالنَّصَارَى، فَإِنَّ تَسْلِيمَ اليَهُودِ الإِشَارَةُ
بِالأَصَابِعِ، وَتَسْلِيمَ النَّصَارَى الإِشَارَةُ بِالأَكُفِّ
Maksudnya: "Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain
kami. Janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi
itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2695)
Ibn Taimiyyah menyatakan sekurang-kurang hadis Ibn Umar di atas
menyatakan haram menyerupai walaupun zahir hadis menyatakan murtadnya
orang yang menyerupai orang bukan Muslim. Oleh itu, tidak hairanlah jika
ada ulama’ mazhab Hanafiyyah dan Malikiyyah berfatwa bahawa dikira
murtad orang yang memberi hadiah lilin kepada Kristian di hari Krismas.
Memberi ucapan tahniah kepada mereka juga adalah dilarang kerana ini
menzahirkan kegembiraan dan keredhaan kepada kekufuran mereka. Ibn
al-Qayyim telah meriwayatkan ijma’ ulama’ akan haramnya tahniah kepada
orang kafir bersempena perayaan mereka:
Katanya: “…dan adapun
memberi tahniah kepada syiar-syiar kafir yang khusus dengannya maka
adalah haram dengan disepakati para ulama’ seperti memberi tahniah pada
perayaan-perayaan mereka dan puasa mereka seperti dikata: ” ‘Eid
Mubarak”(Selamat Hari Raya”) atau “Tahniah dengan perayaan ini” dan
seumpamanya. dan hukum ini(haram) jika selamat pengucapnya daripada
kufur maka ia adalah haram seumpama memberi tahniah kepada kafir atas
sujudnya pada salib bahkan itu lebih besar dosanya di sis Allah daripada
memberi tahniah kepada peminum arak dan pembunuh dan penzina dan
seumpamanya.”
Bagi para ulama’ yang mengharamkannya, perbuatan mengucapkan tahniah itu adalah bercanggah dengan firman Allah SWT:
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلامُ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
(Surah Ali ‘Imran: 19)
Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah
Antara mereka yang mengharuskannya ialah:
Ulama Silam (mutaqaddimin):
• Syeikh Muhammad Ahmad ‘Alish al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya
seorang Muslim pergi ke rumah dhimmi pada hari perayaannya dan
mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia
dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? Jawab beliau: “Tidak
terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang
Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau
tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai
kekufuran.
• Sultan al-Ulama’ al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie.
Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama’ al-Imam
al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan
“Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa
perayaan mereka. Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan
sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan
perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun
sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar
terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana
ucapannya adalah tanpa niat.”
Ulama Kontemporari (muta’akhkhirin)
• Syeikh Muhammad Rashid Redha (Pengarang Tafsir al-Manar)
• Syeikh Dr. Ahmad al-Syarbasi (Pengarang kitab Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah)
• Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa (Ulama Besar Syam)
• Syeikh Abdullah bin Bayyah (Ulama besar Mauritania)
• Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia)
• Syeikh Syauqi Ibrahim Abdul Karim 'Allam (Mufti Mesir)
• Syeikh Dr. Ali Jumu’ah (Mantan Mufti Mesir)
• Syeikh Abdul Sattar Fathullah Said (Pensyarah Universiti al-Azhar)
Antara dalil-dalil mereka adalah:
• Firman Allah SWT:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ
وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا
إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah
tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Mumtahanah: 8)
Al-Maraghi berkata: “Allah SWT tidak melarang kamu daripada melakukan
perbuatan baik kepada bukan Muslim yang tidak memerangi kamu atas dasar
agama, tidak mengusir kamu dari kampung halaman dan tidak membantu orang
lain untuk mengusir kamu.”
• Firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيْتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
Maksudnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu
ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu
dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang
sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Nisa’: 86)
Imam al-Fakhru al-Razi berkata: “Ketahuilah lafaz (تَحِيَّةٍ) sebagai
mana yang kami nyatakan merupakan kiasan kepada perbuatan memuliakan
sesuatu. Justeru semua bentuk jenis perbuatan memuliakan boleh
dimasukkan di bawah lafaz (تَحِيَّةٍ).”
Apabila ada rakan-rakan
bukan Muslim mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kita, maka kita
membalasnya dengan ucapan tahniah yang sama. Tujuannya jelas, iaitu
memuliakan beliau sebagai seorang saudara, sebagai penghargaan atas
ucapan beliau dan tidak bermaksud menerima dan mengagungkan agamanya.
Perihal pengagungan agama itu sudah masuk kepada perbahasan yang lain
daripada perkara ini.
Daripada Asma’ binti Abu Bakar RAnhuma, katanya:
قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي فِي مُدَّةِ قُرَيْشٍ مُشْرِكَةً، وَهِيَ
رَاغِبَةٌ - يَعْنِي مُحْتَاجَةٌ -، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ
عَلَيَّ وَهِيَ مُشْرِكَةٌ رَاغِبَةٌ أَفَأَصِلُهَا؟ قَالَ: صِلِي أُمَّكِ .
Maksudnya: “Telah datang ibuku untuk menziarahiku pada masa perjanjian
dalam keadaan musyrik dan dia begitu berhajat untuk bertemuku, lantas
aku bertanya Rasulullah SAW seraya berkata; “Sesungguhnya ibuku datang
mengziarahiku sedangkan dia musyrik tetapi berkeinginan menemuiku,
adakah aku menyambungnya? Sabda Rasulullah SAW: “Sambungkanlah
silaturrahim dengan ibumu.”
Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim (1003)
• Daripada Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ".
فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا
الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ
لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ .
Maksudnya: "Ada seorang
budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka
Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru:
"Masuklah Islam". Budak itu memandang kepada bapanya yang berada
berdekatannya, lalu bapanya berkata,: "Taatilah Abu al-Qasim SAW".
Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil
bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu
dari neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1356)
Tarjih
Selepas melihat dua pandangan dan juga situasi semasa di Malaysia, kami
berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan
seumpamanya adalah diharuskan. Ini kerana,
• Firman Allah SWT:
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا
هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا
تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap
adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan.
(Surah al-Maidah: 8)
Al-Maraghi berkata: “Ini kerana
ketidakadilan yang dilakukan akan menimbulkan kerosakan yang boleh
menghancurkan kehidupan bersosial, memutuskan hubungan antara individu
dan datang malapetaka yang besar.”
• Tahaluf bersama golongan yang
mencintai kedamaian dan meninggalkan permusuhan yang bertujuan untuk
menyelamatkan kemanusiaan dari peperangan.
• Rasulullah Saw memuji perjanjian Fudhul sedangkan ia berlaku pada masa Arab Jahiliah.
لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الإسلام لأجبت. تحالفوا أن ترد الفضول على أهلها، وألا يعز ظالم مظلوما
Maksudnya: “Aku menyaksikan perjanjian di rumah Abdullah Bin Jud’an,
kalau aku diminta melakukannya pada zaman Islam nescaya aku menyahutnya.
Perjanjian mereka untuk dikembalikan harta kepada tuan punya dan tidak
memuliakan orang yang zalim atas kezalimannya.”
• Hak minoriti
bukan Muslim. Ini kerana hak-hak golongan minoriti yang bukan Muslim
juga perlu diraikan lebih-lebih lagi apabila mereka mengambil hak
kewarganegaraan (muwatanah). Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya
Fiqh al-Awlawiyyat ada menekankan tentang keperluan meneliti
masalah-masalah yang dihadapi oleh minoriti bukan Muslim.
• Perlu
membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah).
Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada
perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan
(musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan
dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia
menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat
(tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).
Hal ini adalah sebagaimana komentar Ibn 'Abidin terhadap Durr
al-Mukhtar pada perbahasan hukum membaca mushaf dalam solat yang
dikatakan menyerupai ahli kitab, katanya:
قَالَ هِشَامٌ: رَأَيْت
عَلَى أَبِي يُوسُفَ نَعْلَيْنِ مَخْصُوفِينَ بِمَسَامِيرَ، فَقُلْت:
أَتَرَى بِهَذَا الْحَدِيدِ بَأْسًا؟ قَالَ لَا قُلْت: سُفْيَانُ وَثَوْرُ
بْنُ يَزِيدَ كَرِهَا ذَلِكَ لِأَنَّ فِيهِ تَشَبُّهًا بِالرُّهْبَانِ؛
فَقَالَ «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -
يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَهَا شَعْرٌ» وَإِنَّهَا مِنْ لِبَاسِ
الرُّهْبَانِ. فَقَدْ أَشَارَ إلَى أَنَّ صُورَةَ الْمُشَابَهَةِ فِيمَا
تَعَلَّقَ بِهِ صَلَاحُ الْعِبَادِ لَا يَضُرُّ... وَفِيهِ إشَارَةٌ
أَيْضًا إلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِالتَّشَبُّهِ أَصْلُ الْفِعْلِ: أَيْ
صُورَةُ الْمُشَابَهَةِ بِلَا قَصْدٍ.
Maksudnya: “Hisham berkata:
Aku melihat Abu Yusuf (memakai) sepasang sandal yang dijahit dengan
paku-paku. dan berkata: 'Adakah kamu merasa susah memakai ini? Dia
menjawab, 'Tidak'. Aku berkata, 'Sufyan dan Thaur bin Yazid tidak suka
kepada sandal ini kerana ia menyerupai rahib. Beliau menyatakan, 'Nabi
SAW memakai sandal yang mempunyai bulu di atasnya.' (Ibn 'Abidin
menyatakan) Sesungguhnya ia (sandal itu) adalah daripada pakaian rahib.
Maka ini menunjukkan bahawa apa-apa persamaan / penyerupaan yang
berkaitan dengan kebaikan manusia adalah tidak bermasalah ... dan ini
juga menunjukkan mengenai asal perbuatan meniru itu - ia adalah bentuk
persamaan tanpa niat.”
• Perlu dibezakan antara hukum fiqhi dan
fatwa. Ini kerana, hukum fiqhi ada yang bersifat thabit yang tidak
mungkin berubah seperti hukum قطعية الثبوت و الدلالة. Begitu juga ada
yang boleh berubah iaitu yang tidak thabit. Hal ini harus berijtihad.
Berlainan pula dengan fatwa yang boleh menerima perubahan berdasarkan
kemaslahatan zaman. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Ini yang menyebabkan
aku menyalahi pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkenaan
pengharaman ucapan tahniah kepada orang Kristian.”
• Menghukumi
sesuatu adalah dengan isinya dan kandungannya, bukan dengan kulit atau
namanya semata-mata (العبرة بالمسميات لا بالاسماء).
• Kami
melihat, perbezaan pandangan yang timbul adalah pada memahami definisi
yang tepat bagi perkataan “tahniah” yang menyebabkan hukumnya terbahagi
kepada dua seperti di atas. Bagi menjelaskan hal ini, kita perlu melihat
definisi “tahniah” dalam konteks bahasa dan pemahaman yang sebenar.
Dalam Bahasa Melayu, “tahniah” bermaksud:
“ucapan yang ditujukan kepada seseorang untuk menyatakan rasa gembira kerana kejayaannya dll; ucapan selamat”
Maka, dapat difahami bahawa ucapan Merry Christmas adalah termasuk
dalam fatwa keharusan mengucapkan tahniah atas perayaan agama lain tanpa
mengagungkan agama mereka. Ia tidak lebih daripada sekadar ucapan bagi
menzahirkan rasa gembira dan seronok apabila melihat mereka bergembira
meraikannya.
Keputusan Institusi Fatwa
Bagi menyokong keharusan yang kami tarjihkan, kami kemukakan di sini sebahagian pendapat Institusi Fatwa:
• Dar Ifta al-Misriyyah. Harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan
Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak
bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di
bawah bab Ihsan.
• Majlis Fatwa Eropah. Mereka juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).
Garis Panduan (dhawabit) Umum
• Ucapan tahniah adalah sebagai tanda perpaduan dan hubungan
kemasyarakatan yang erat dan harmoni. Adapun melibatkan diri dalam
upacara-upacara keagamaan khusus mereka, ia tetap tidak dibenarkan di
sisi Islam.
• Ucapan tersebut tidak disertai dengan niat untuk
mengagungkan, memuliakan dan mengikrarkan agama lain serta tidak juga
menumpahkan kasih sayang yang tinggi (mawaddah).
• Ucapan tahniah
tidak mengandungi sebarang bentuk penghargaan yang menyalahi syarak
seperti menghadiahkan arak dan perkara yang tidak diizinkan dalam Islam.
• Ucapan tersebut adalah kepada orang bukan Muslim yang tidak bermusuh
dengan Islam, khususnya kepada seseorang yang mempunyai ikatan tertentu
seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman-teman pengajian, kawan-kawan
sekerja dan sebagainya.
• Menghadiri jemputan makan malam bukan
Muslim, menziarahi bukan Muslim dan bertukar-tukar hadiah juga adalah
dibenarkan. Rasulullah SAW pernah menerima hadiah daripada Raja
al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar al-Khattab RA juga
pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang tidak memeluk Islam.
Kenyataan Mufti Wilayah
Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping
membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar
sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami
berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas adalah HARUS dan perlu
meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan. Ini juga selari dengan
keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007,
“Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad
atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas
(SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan
agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf,
memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan
sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan
tersebut.”
Kami menguatkan hujah ini melalui kenyataan Dr Yusuf
al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi Islam antara lain
menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam
tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa
yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua
ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip
yang menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT:
لَا يَنْهَاكُمُ
اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ
يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ
الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ
وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ
فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: Allah SWT tidak melarang
kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang
tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu
dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang
yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu
daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana
agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta
membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang
menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim.
(Surah al-Mumtahanah: 8-9)
Ayat yang pertama di
atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada
orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak
menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya.
Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan
terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat
baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka. Perkataan
“al-bir” iaitu “baik” merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian
dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah
suatu perkara yang melebihi “keadilan”. Kalimah al-bir tersebut pernah
digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama
tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan
perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr
al-walidain)
Kami menyatakan di sini bahawa ayat itu menggalakkan
apa yang kami nyatakan kerana firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berlaku adil. Seseorang
Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk
merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali
menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang
terdapat di dalam ayat ini, kerana ianya berbunyi dengan ungkapan “Allah
SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk
menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih
lagi berlaku sehingga ke hari ini.
Sesiapa sahaja yang menyalahi
ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan
pergaulan yang baik. Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia
tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun
orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka
memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.”
Sudah sampai masanya
bagi para ulama’ menginterpretasikan apa yang didapati daripada
teks-teks klasik ulama’ silam supaya sesuai dengan kerangka masa kini
tanpa meninggalkan batasan syarak. Tidak cukup hanya sekadar menukilkan
apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam,
bahkan para ulama’ perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi’
(realiti semasa). Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik
inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke
hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang
serta tidak ketinggalan dalam arus perdana. Dengan itu, akan terzahirlah
Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi
rahmat ke seluruh alam jagat).
Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah.
Akhukum Fillah,
SS. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
19 Disember 2016 / 19 Rabi’ al-Awwal 1438H
#https://www.facebook.com/DR-ASYRAF-WAJDI-DUSUKI..